
Ketua Menteri Hajiji Noor, berkata antara sebab utama bekalan elektrik mengalami gangguan kerana permintaan yang meningkat, susulan percambahan perniagaan di Sabah.
Di kala ekonomi Sabah terus berkembang, permintaan elektrik diunjurkan meningkat sebanyak 4.8% dalam tempoh 10 tahun akan datang.
FMT mengupas ekosistem bekalan elektrik di Sabah dan usaha kerajaan negeri mengatasi isu itu bagi memangkin ekonomi.
Ekosistem elektrik
Bekalan elektrik di Sabah diurus oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), yang mana Tenaga Nasional Bhd mempunyai 83% kepentingan. Saham selebihnya milik kerajaan negeri.
SESB mengurus penjanaan elektrik daripada pelbagai sumber, misalnya loji tenaga berasaskan gas dan diesel, serta tenaga boleh diperbaharui seperti loji tenaga solar dan kuasa hidro.
Jumlah tenaga yang tersedia untuk memenuhi permintaan asas pengguna adalah 1,080 megawat (MW), namun permintaan maksimum boleh mencecah 1,200MW.
Justeru pentadbiran Hajiji beri jaminan kerajaan negeri akan menyegerakan projek penjagaan tenaga bagi mencapai jidar simpanan 30% pada satu-satu masa, lapor media.
Dalam tempoh masa terdekat, Sabah akan menyewa penjana berkuasa diesel yang boleh menghasilkan 100MW, dan melanjutkan operasi loji jana kuasa di Tawau sebanyak 70MW, bagi menangani isu bekalan elektrik, di samping menyiapkan projek solar 62MW.
Penyelesaian mendatang
Dewan Undangan Negeri Sabah baru-baru ini meluluskan tiga usul bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui daripada Putrajaya.
Ini bermakna pengawal selia sektor tenaga di Sabah ialah Suruhanjaya Tenaga Sabah, yang diberi mandat untuk menyediakan bekalan tenaga yang terjamin dan mampan pada harga yang munasabah dan mudah diperolehi.
Tenaga diperolehi termasuk dalam mandat suruhanjaya ini, yang mana tenaga hidro menjadi perkara penting dalam aspirasi kerajaan, menurut Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040.
Cita-cita hidro
Pengerusi Persatuan Tenaga Lestari Sabah, Peter Lajumin, berkata kuasa hidroelektrik merupakan sumber tenaga yang lebih boleh diharapkan berbanding biomas dan tenaga solar.
Jelasnya, tenaga hidro merupakan satu-satunya sumber tenaga boleh diperbaharui yang mampu menjana elektrik secukupnya untuk menampung kerancakan pengindustrian di Sabah.
“Kita amat perlukan kuasa hidro untuk menyokong pengindustrian di Sabah. Tenaga boleh diperbaharui lain berguna untuk mencukupkan kapasiti penjanaan tenaga,” kata Lajumin kepada FMT.
Beliau menyeru lebih ramai pelabur swasta untuk bersama-sama kerajaan negeri membangunkan projek kuasa hidro dengan mendanai kajian kejuruteraan dan kebolehlaksanaan.
Pengubah keadaan
Setakat 2022, kapasiti hidro Sabah adalah 102MW, yang menyumbang hanya 4% kepada penjagaan tenaga di Sabah.
Projek Telekosang 1 & 2 40MW mula beroperasi tahun lepas, manakala projek One River Power dijangka mula operasi tahun ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim merasmikan pecah tanah bagi Projek Hidroelektrik Upper Padas (UPHEP).
Projek RM4 bilion itu untuk memastikan Sabah memiliki sumber elektrik yang boleh diharapkan, bagi memenuhi 15% keperluan tenaganya.
Apabila siap pada 2029 nanti, empangan baharu itu memiliki kapasiti 187.5MW dan meluaskan pembekalan elektrik dengan menghubungkan wilayah selatan dan tenggara Sabah.
Hajiji yakin UPHEP akan turut menyelesaikan isu bekalan air di Sabah dalam tempoh jangka masa panjang.
“Empangan itu boleh melepaskan 6,000 juta liter air sehari. Di Kota Kinabalu, penduduk perlukan kira-kira 500 hingga 600 juta liter air sehari, tidak sampai 1,000 juta liter pun,” katanya.