Tuntutan palsu lebih RM1 juta, guru besar direman 6 hari

Tuntutan palsu lebih RM1 juta, guru besar direman 6 hari

Wanita 36 tahun terbabit direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan tuntutan palsu bagi pembekalan makan dan minum murid di asrama sebuah sekolah rendah itu.

Semalam, SPRM dilaporkan menahan empat individu termasuk guru besar kerana dipercayai terlibat membuat tuntutan palsu bagi pembekalan makan minum murid di asrama sebuah sekolah rendah di Terengganu bernilai RM1.3 juta. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Seorang guru besar direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan membuat tuntutan palsu bagi pembekalan makan dan minum murid di asrama sebuah sekolah rendah di Terengganu bernilai RM1.3 juta.

Perintah reman terhadap wanita berumur 46 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Yuhainis Mohd Roslan selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Seorang pengurus dan penyelia syarikat yang kedua-duanya berumur 34 tahun turut direman dua hari bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan kes sama mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Semalam, Bernama melaporkan SPRM menahan empat individu dipercayai terlibat membuat tuntutan palsu bagi pembekalan makan minum murid di asrama sebuah sekolah rendah di negeri ini.

Bagaimanapun, seorang lagi individu iaitu ketua pembantu tadbir dilepaskan dengan jaminan SPRM, susulan masalah kesihatan.

Difahamkan, tuntutan membabitkan kontrak pembekalan bernilai RM1.3 juta bagi tempoh 2022 hingga 2023 dibuat terhadap 100 murid sedangkan jumlah murid sebenar hanyalah 35 orang.

SPRM dalam operasi sama turut menjalankan siasatan terhadap tuntutan palsu membabitkan kontrak pembersihan berjumlah RM35,000 di sekolah berkenaan.

Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid tidak menolak kemungkinan terdapat lagi tangkapan susulan berkaitan siasatan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.