
PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) meminta Google menjelaskan kesilapan kadar tukaran bagi ringgit berbanding dolar AS semalam.
Kadar itu, menurut Google, melonjak kepada RM6.24 berbanding dolar AS sekitar tengah malam sebelum kembali kepada kira-kira RM4.75.
BNM dalam kenyataan ringkas berkata Google “salah lapor” kadar pertukaran “tidak tepat” 6.24.
“Julat perdagangan tinggi dan rendah yang dicatatkan dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit antara 4.7480 dan 4.7630 semalam, seperti yang disiarkan di laman sesawang BNM.
“Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dalam menggunakan sumber tidak dapat disahkan sebagai rujukan berhubung ringgit.”