
Peguam Andrew Khoo berkata, mungkin terdapat kes dalam keadaan-keadaan tertentu yang menghendaki permohonan pengampunan dipertimbangkan secepat mungkin, “contohnya, bagi seseorang yang disabitkan dengan jenayah dan dijatuhi hukuman penjara tetapi sakit tenat” .
Khoo berkata, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) itu.
“Lembaga Pengampunan harus mengekalkan fleksibiliti dalam memutuskan seberapa cepat untuk mempertimbangkan permohonan (pengampunan),” katanya kepada FMT.
Bekas presiden Majlis Peguam Salim Bashir berkata, reaksi tergesa-gesa mendesak proses pengampunan diubah boleh mengakibatkan ketidakadilan dan masalah tidak perlu bagi banduan tertentu, terutamanya mereka yang mengalami masalah kesihatan.
“Sama ada untuk mempertimbangkan atau menolak permohonan pengampunan secara bebas daripada nasihat Lembaga Pengampunan ialah prerogatif belas kasihan mutlak Agong atau raja-raja.
“Kajian holistik perlu dilakukan sebelum sebarang pindaan dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan dan peraturan penjara (berkenaan permohonan pengampunan),” katanya.
Khoo berkata, Lembaga Pengampunan harus mendedahkan alasan dan rasional di sebalik keputusannya untuk memelihara kepercayaan masyarakat awam terhadap proses pengampunan.
“Mereka harus mendedahkan perkara-perkara yang diambil kira apabila mengemukakan syor,” katanya.
Setiap Lembaga Pengampunan harus mengambil kira implikasi syor mereka kepada Agong atau raja-raja kerana keputusan sedemikian boleh memberi impak kepada pelaksanaan keadilan dan kedaulatan undang-undang, katanya.
C4 mencadangkan sedemikian sebagai respons kepada keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda bekas perdana menteri Najib Razak.
Pusat itu mencadangkan pelaksanaan tempoh menunggu minimum sebelum permohonan pengampunan boleh dikemukakan, seperti Kanada, yang turut menghendaki pemohon mengemukakan bukti berlakunya ketidakadilan yang berat atau kesulitan yang tidak wajar akibat sifat hukuman atau sabitan.
Peraturan-Peraturan Penjara Malaysia 2000 memperuntukkan bahawa seseorang banduan boleh mengemukakan petisyen kepada Agong, pemerintah atau yang di-pertua negeri memohon pengampunan diraja atas sabitan atau hukuman mereka “secepat yang dapat dilaksanakan” selepas sabitan.
Jika gagal, banduan boleh menghantar petisyen kedua tiga tahun selepas sabitan, dan seterusnya setiap dua tahun, melainkan terdapat keadaan khusus.
Najib memohon pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 selepas memulakan hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos tahun sama di penjara Kajang.