Lelaki Indonesia maut, rumah dihempap pokok tumbang

Lelaki Indonesia maut, rumah dihempap pokok tumbang

Lima lagi rakan senegara mangsa cedera selepas rumah kayu didiami mereka di sebuah taman peringatan di Jalan Tanjung Rambutan, Ipoh dihempap pokok tumbang.

Keadaan rumah kongsi enam mangsa selepas dihempap pokok tumbang lewat petang tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang warga asing maut, manakala lima rakannya cedera selepas rumah kongsi mereka di sebuah taman peringatan di Jalan Tanjung Rambutan, Ipoh dihempap pokok tumbang lewat petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata kejadian berlaku ketika hujan dan angin kencang menyebabkan rumah enam lelaki Indonesia itu dihempap pokok besar.

“Lima mangsa dikeluarkan orang awam, manakala seorang mangsa 40 tahun dikeluarkan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun dibantu BBP Sungai Siput bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 6.15 petang tadi.

Menurutnya, mayat mangsa dan semua mangsa cedera, termasuk seorang yang parah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk tindakan serta rawatan lanjut.

Operasi tamat 9.40 malam selepas anggota bomba melakukan pemantauan bagi memastikan tiada mangsa lain terperangkap dan keadaan selamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.