
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata hasil serbuan pada 3 petang itu, polis merampas 440g ketulan kristal methamphetamine, 1.03kg cecair methamphetamine dan 53.03kg serbuk ephedrine, pelbagai peralatan dan bahan kimia bagi tujuan penghasilan dadah.
“Seorang lelaki tempatan 22 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang serta seorang buruh lelaki warga asing 37 tahun yang tiada dokumen pengenalan diri direman tujuh hari hingga hari ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis percaya aktiviti itu berjalan lebih dua bulan di sebidang tanah yang mulanya disewa bagi tujuan memproses minyak, namun terbengkalai dan kontena itu digunakan untuk memproses dadah, selain tempat tersebut agak terlindung daripada penglihatan orang ramai.
“Soal bagaimana mereka mendapatkan bahan untuk memproses dadah dan belajar membuatnya masih dalam siasatan dan kita percaya kontena itu berpindah-randah berdasarkan peralatannya.”
Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan.
Dalam perkembangan lain, Hussein berkata, bagi Ops Tapis Khas SeMalaysia oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor selama tiga hari mulai 29 Jan lepas, 670 individu ditahan, termasuk warga asing melalui 349 serbuan.
“Ops ini menggempur 193 lokasi yang dijadikan sarang penagihan dadah di kawasan Felda, Felcra, projek perumahan rakyat dan jeti nelayan, selain 42 tokan dadah dan 20 orang berstatus dikehendaki ditahan.”
Katanya, 63.544kg dan 32 liter cecair pelbagai jenis dadah dirampas dengan anggaran nilai RM868,163.
Beliau berkata, turut dirampas selaras senapang angin buatan sendiri di Klang Utara yang disiasat bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.