KKM lulus RM1.2 juta tambah katil di HRPB

KKM lulus RM1.2 juta tambah katil di HRPB

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan itu bagi menampung perolehan kira-kira 250 set katil termasuk menggantikan kemudahan katil yang uzur.

Dr Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan RM1.2 juga disalurkan kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk penambahan katil. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.2 juta bagi menambah bilangan katil di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini sebagai usaha memastikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata peruntukan itu bagi menampung perolehan kira-kira 250 set katil termasuk menggantikan kemudahan katil yang uzur.

“Walaupun ada penambahan lebih 400 katil menerusi pengoperasian Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi (KWKK), kita (KKM) tambah peruntukan bagi membolehkan hospital beroperasi secara penuh (maksimum),” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis perasmian KWKK HRPB di sini hari ini, yang disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Sementara itu, Dzulkefly berkata kerja-kerja menaik taraf Hospital Kuala Kangsar sedang dalam proses penawaran tender.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memantau pelaksanaan projek itu bagi memastikan siap mengikut jadual ditetapkan.

Hospital Kuala Kangsar merupakan antara 26 hospital berusia hampir seabad yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 untuk dinaik taraf selain Hospital Jelebu di Negeri Sembilan dan Hospital Pontian di Johor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.