Kacau pengurus punca 5 lelaki ‘bergusti’ di restoran

Kacau pengurus punca 5 lelaki ‘bergusti’ di restoran

Empat lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing ditahan susulan kejadian tular di media sosial.

Tangkap layar video tular pergaduhan di sebuah premis perniagaan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Polis menahan lima lelaki berusia lingkungan 20 hingga 33 tahun susulan video tular pergaduhan di depan sebuah restoran makanan segera di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya, berkata empat warga tempatan berusia 20 tahun manakala seorang warga asing berusia 33 tahun dipercayai terlibat dalam pergaduhan kira-kira 8.30 malam, 4 Feb lalu.

Katanya, pergaduhan tercetus selepas berlaku perselisihan faham antara pekerja premis dan warga asing yang dikatakan mengganggu pengurus restoran itu.

“Warganegara tempatan yang ditahan direman selama sehari pada 6 Feb, manakala warganegara asing direman selama empat hari mulai 6 hingga 9 Feb bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis mengambil tindakan itu selepas menerima laporan pada 5 Feb berkenaan video tular yang dimuat naik di media sosial X.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.