
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata selain siasatan tatatertib yang sedang dijalankan, polis membuka satu lagi kertas siasatan bagi kesalahan jenayah.
“Kami membuka satu lagi (kertas siasatan) bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil,” kata Hussein pada sidang media.
Pada Ahad, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menjalankan pemeriksaan ke atas pasukan itu semasa operasi pada 2.30 pagi.
JIPS mendapati seorang daripada sarjan memiliki wang tunai berjumlah RM3,313 dalam sebuah beg manakala RM440 lagi ditemui dalam sebuah kereta polis.
Laporan telah dibuat untuk menentukan sama ada terdapat unsur rasuah atau pelanggaran prosedur polis trafik.
Pasukan itu terdiri seorang inspektor, dua sarjan, seorang koperal, tiga lans koperal dan tiga konstabel. Mereka ditempatkan di IPD Petaling Jaya tetapi dipindahkan ke unit lain sementara menunggu siasatan.
Hussein berkata, prosedur operasi standard menetapkan seorang anggota polis yang melakukan rondaan atau sekatan jalan raya hanya boleh membawa wang tunai sehingga RM100.
Jika membawa lebih daripada itu, mereka dikehendaki mengisytiharkannya kepada penyelia sebelum memulakan tugas. Mereka juga dikehendaki membawa buku log untuk mencatat aktiviti semasa menjalankan tugas.