Seorang lagi Pati lolos depot imigresen maut kemalangan

Seorang lagi Pati lolos depot imigresen maut kemalangan

Polis berkata mangsa dilanggar ketika berjalan kaki di KM332.5 Lebuhraya PLUS, malam tadi.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata setakat 8 pagi ini seramai 54 tahanan yang melarikan diri berjaya ditangkap. (Gambar Bernama)
IPOH:
Seorang lagi pendatang tanpa izin yang lolos dari Depot Sementara Imigresen Bidor, Tapah, maut akibat kemalangan jalan raya malam tadi, kata Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri.

Yusri berkata kemalangan berlaku di KM332.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada 9.20 malam tadi.

Katanya, tiga lagi pendatang tanpa izin ditahan awal pagi tadi di kawasan Tapah menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan 54 orang setakat 8 pagi ini.

“Mangsa dilanggar pacuan empat roda ketika sedang berjalan kaki dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata semua tangkapan termasuk yang meninggal dunia adalah Rohingya.

Sementara itu, Yusri berkata mayat mangsa kemalangan 9.20 malam tadi dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat.

Beliau berkata pegawai imigresen hadir ke hospital itu dan mengesahkan bahawa mangsa adalah seorang daripada pendatang yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor.

“Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil untuk memberi keterangan dan menghubungi pegawai penyiasat kes P Prathiparaj dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan trafik, IPD Tapah di talian 014-6178095,” katanya.

Berkenaan tahanan yang ditangkap, Yusri berkata pada 9.45 malam tadi hasil maklumat orang awam, pasukan operasi khas polis berjaya menahan seorang lelaki etnik Rohingya itu di Felcra Jalan Kachu, Tapah.

Katanya pasukan operasi khas polis juga berjaya menangkap lelaki etnik Rohingya pada 3.35 pagi tadi, manakala seorang lagi lelaki Rohingya ditahan di Batu Dua Jalan Pahang, Tapah pada 3.55 pagi tadi.

Pada Khamis lalu, 131 Pati melarikan diri dari blok lelaki Depot Imigresen Bidor kira-kira 9.50 malam, tetapi seorang daripadanya meninggal dunia akibat nahas jalan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.