Lelaki disyaki bakar isteri selepas mabuk tapai

Lelaki disyaki bakar isteri selepas mabuk tapai

Polis berkata siasatan awal mendapati mangsa dan suspek minum tapai di rumah sebelum mereka bertengkar.

Keadaan rumah pasangan itu di Kampung Tinagalan, Sook yang musnah selepas suspek dipercayai membakar isterinya pada Jumaat lalu. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan susulan kematian isterinya yang dipercayai dibakar suspek di Kampung Tinagalan, Sook, Sabah.

Ketua Polis Keningau, Yampil Anak Garai, berkata pihaknya menerima laporan daripada ahli keluarga mangsa berusia 41 tahun itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek 50 tahun minum “tapai” (minuman beralkohol) di rumah mereka Jumaat lalu.

Katanya, anak berusia 16 tahun ternampak kedua ibu bapanya bertengkar dalam keadaan mabuk teruk kira-kira 10 malam hari sama.

“Ketika bertengkar, suspek kata hendak membakar mangsa dan mangsa pula mencabar untuk membakarnya jika berani.

“Suspek kemudian ke tingkat bawah rumah untuk mengambil gelen berisi petrol dan naik semula lalu menyimbah petrol ke badan mangsa sebelum mencampak mancis menyala ke arah mangsa sehingga menyebabkan badan mangsa terbakar,” katanya menurut Sinar Harian.

Yampil berkata, remaja itu segera membawa dua adiknya yang tidur keluar dari rumah apabila api mula merebak dari bilik ibu bapanya ke ruang lain dalam rumah.

Menurutnya, remaja terbabit juga cuba memadamkan api di badan ibunya sebelum mendapatkan bantuan bapa saudaranya.

“Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Sook untuk mendapatkan rawatan awal, sebelum dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut. Namun, pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia pada 1.41 tengah hari Sabtu.

“Suspek direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.