Isu sempadan KL-Selangor selesai 2025, kata MB

Isu sempadan KL-Selangor selesai 2025, kata MB

Amirudin Shari berkata, penetapan persempadanan penting kerana membabitkan kutipan serta pembayaran cukai, penguatkuasaan PBT dan penyelenggaraan utiliti.

Amirudin Shari dan Dr Zaliha Mustafa dalam sidang media di Shah Alam hari ini.
SHAH ALAM:
Persempadanan kawasan antara Selangor dan Kuala Lumpur akan dimuktamadkan pada 2025, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Katanya, penetapan persempadanan itu penting kerana membabitkan kutipan serta pembayaran cukai, penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penyelenggaraan utiliti antara dua negeri.

Beliau bagaimanapun berkata, penetapan persempadanan kawasan jelas adalah rumit kerana melibatkan premis dan kawasan tepu bina berbanding kawasan hutan serta pertanian yang pernah ditandatangani kerajaan Selangor bersama Pahang dan Negeri Sembilan.

“Sekarang ini (ada kawasan) yang bercantum antara kedua-duanya (Selangor dan Kuala Lumpur). Kalau kita lihat Cheras, ada yang tanya Cheras mana, sama ada Kuala Lumpur atau Kajang (Selangor) dan orang keliru. Jadi, lebih baik persempadanan dibuat bagi menyelesaikan kepentingan antara kedua-dua negeri.

“Setakat ini, 19 lokaliti dibincangkan dalam persempadanan berkenaan, termasuk Gombak, Ampang dan Hulu Langat. Namun, mungkin ada dua atau tiga lagi lokaliti,” katanya dalam sidang media di lobi Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menemui Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa yang turut dihadiri wakil agensi negeri masing-masing bagi membincangkan persempadanan dua negeri itu.

Amirudin berkata, persempadanan dua negeri itu akan menjadikan perjanjian lama seperti Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur dan Putrajaya kepada kerajaan persekutuan serta beberapa perjanjian lain sebagai panduan.

“Dulu tiada ukur tentu halus, tetapi sekarang ini perlu ditetapkan sebetulnya supaya sah dan tepat. Insya Allah, kedaulatan setiap tapak dan inci bagi tanah di kedua tempat ini akan dipelihara.

“Sebelum ini, kita tandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) berhubung persempadanan ini. Sebelum MoU ketiga ditandatangani, kita akan bawa (isu persempadanan) ke Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) dan dipersembahkan kepada Sultan Selangor bagi pihak negeri,” katanya sambil menambah persempadanan itu tiada kaitan dengan kawasan pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.