
Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Rohaimi Md Isa, berkata sebanyak 124 laporan membabitkan kerugian RM90.36 juta diterima sejak November tahun lalu.
“Siasatan dijalankan setakat ini berjaya mengenal pasti 73 syarikat perniagaan dan sebanyak 83 akaun bank syarikat serta satu akaun bank individu yang disyaki digunakan dalam kegiatan penipuan sindiket itu.
“Polis sudah menyekat semua akaun bank berkenaan,” katanya dalam kenyataan menurut Harian Metro.
Selain itu, Rohaimi berkata seorang lelaki berusia 24 tahun yang berperanan sebagai “keldai akaun” juga sudah didakwa mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Sabah di mahkamah di Keningau, Sabah, kelmarin.
Katanya, setakat ini kerugian tertinggi direkodkan adalah RM11.13 juta membabitkan seorang pengarah syarikat berusia 60 tahun yang membuat laporan di Balai Polis Sentul, 30 Jan lalu.
“Lelaki itu mendakwa terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto yang diiklankan di laman sosial Facebook pada September tahun lalu.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Individu yang masih berurusan dengan skim pelaburan dinasihatkan berhenti melakukannya dan membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin terbabit dalam urus niaga mata wang kripto membuat semakan di laman web www.coinmarketcap.com selain merujuk agensi berkaitan termasuk Bank Negara (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.