Tahanan lolos mula keluar cari makan, 10 Pati ditahan

Tahanan lolos mula keluar cari makan, 10 Pati ditahan

Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh berkata pihaknya sedang mengesan baki 120 pendatang tanpa izin yang melarikan diri.

Tiga lagi Pati ditahan hari ini, iaitu seorang di Masjid Batu Melintang dan dua lagi ditahan di Kampung Orang Asli Sementa. (Gambar Bernama)
TAPAH:
Imigresen mengesahkan 10 pendatang tanpa izin (Pati) ditahan setakat pagi ini selepas mereka melarikan diri dari Depot Imigresen Bidor Khamis lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh, berkata pihaknya sedang mengesan baki 120 Pati dengan operasi pencarian diteruskan sehingga semuanya diberkas.

“Lebih kurang 7 pagi tadi, dua orang ditahan di Masjid Batu Melintang apabila mereka ke masjid meminta air daripada kariah masjid. Penduduk di sana memaklumkan polis dan ditahan.

“Sebentar tadi, kita dapat maklumat lagi dan satu tangkapan dibuat di Kampung Orang Asli Sementa. Semua dalam radius 12km, mereka mula keluar untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman,” katanya pada sidang media di Depot Imigresen Bidor.

Beliau berkata, ia merupakan perkembangan baik dengan kerjasama polis melibatkan Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Siasatan Jenayah, Unit Anjing dan Jabatan Sukarelawan (Rela) bagi membantu mengesan serta menangkap tahanan itu.

Khamis lalu, 131 Pati melarikan diri dari blok lelaki Depot Imigresen Bidor kira-kira 9.50 malam, tetapi seorang daripadanya meninggal dunia akibat nahas jalan raya.

Ruslin berkata, pencarian tahanan lolos kini difokuskan di penempatan warga asing, masjid, rumah kosong, surau dan perkampungan Orang Asli di sekitar Tapah.

“Mereka ini (tahanan lolos) berkemungkinan meminta bantuan rakan dikenali dan keturunan mereka untuk menyembunyikan diri di penempatan haram sekitar Tapah.

“Orang awam diminta menyalurkan maklumat sekiranya ada individu mencurigakan meminta bekalan makanan dan minuman.”

Katanya, tahanan lolos kini berpecah dan tidak bergerak dalam kumpulan besar.

Justeru, beliau mengarahkan imigresen di seluruh negara mengadakan operasi besar-besaran kerana sasaran dan radius pencarian tahanan lolos diperluaskan.

“Esok, 100 anggota akan melaporkan diri di Depot Imigresen Bidor bagi membantu pengoperasian.”

Mengulas pengoperasian depot itu, beliau berkata, depot berkenaan kini dikosongkan sepenuhnya dan tiada lagi tahanan ditempatkan di sana.

“Sekitar 11 malam tadi, 100 tahanan wanita dipindahkan dan mereka selamat tiba di Depot Bukit Jalil serta beberapa depot negeri lain seperti Lenggeng di Negeri Sembilan dan Kemayan di Johor.”

Daripada 131 Pati yang melarikan diri dari blok lelaki depot itu, 115 orang ialah etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.