Projek kereta kabel Bukit Bendera RM245 juta dapat kelulusan EIA

Projek kereta kabel Bukit Bendera RM245 juta dapat kelulusan EIA

Kelulusan EIA bagi laluan sejauh 2.9km itu diperoleh bulan lepas dan projek dijangka siap dalam tempoh 18 bulan, menurut Penang Hill Corporation.

Kereta kabel Bukit Bendera, menurut gambaran artis.
GEORGE TOWN:
Projek kereta kabel Bukit Bendera bernilai RM245 juta telah menerima kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA), dengan pembinaan dijangka bermula April.

Pengurus Besar Penang Hill Corporation Cheok Lay Leng berkata, kelulusan EIA bagi laluan sejauh 2.9km itu diperoleh bulan lepas dan projek itu akan mengambil masa kira-kira 18 bulan untuk siap.

“Kami telah menerima kebenaran kelulusan perancangan daripada majlis bandaran juga. Perkara utama (di sini) adalah menguruskan pemegang taruh semasa projek ini dijalankan dan mendapatkan input mengenai syarat tambahan yang dikenakan,” katanya kepada pemberita di Bukit Bendera.

Pada 2022, kerajaan Pulau Pinang memilih Hartasuma, sebuah syarikat yang berpangkalan di Lembah Klang, untuk membangunkan projek itu dengan konsesi selama 30 tahun.

Dilaporkan sebelum ini bahawa sebuah tempat letak kenderaan bertingkat yang besar akan dibina di pekarangan Taman Botani Pulau Pinang, menghubungkannya dengan stesen kereta kabel.

Dari situ, gondola kereta kabel akan menampung 1,000 orang pada satu-satu masa, dengan kelajuan 6m per saat, beroperasi pada ketinggian kira-kira 700m dari paras laut ke stesen Bukit Bendera.

Gondola-gondola itu akan dibekalkan oleh syarikat Austria, Doppelmayr.

Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini berkata, kereta kabel itu akan dibangunkan dalam zon peralihan rizab Unesco.

Menurut penyokong-penyokongnya, projek ini akan menggiatkan industri pelancongan di pulau itu serta mengurangkan kesesakan di kereta api funikular buatan Switzerland, yang mudah rosak.

Rizab biosfera Unesco di bukit itu meliputi 12,481 hektar, merangkumi Taman Botani, Taman Negara Pulau Pinang, enam hutan simpan kekal, dan dua empangan.

Kumpulan aktivis hijau yang membantah projek itu berkata, ia akan merosakkan banjaran Bukit Bendera merentasi pulau itu.

Dengan 1.6 juta pengunjung pada tahun lepas sahaja, kerajaan negeri berkata, kereta api funikular yang kini digunakan terpaksa menampung kapasiti lebih, dan kereta kabel akan membantu mengurangkan bebannya.

Awal hari ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow merasmikan ruang menunggu baharu bernilai RM10.9 juta di stesen puncak kereta api funikular itu, yang direka bentuk untuk menampung 700 orang. Ruang menunggu itu juga mempunyai 334 panel solar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.