Jangan suruh rakyat diam isu Najib, Muda bidas Fahmi

Jangan suruh rakyat diam isu Najib, Muda bidas Fahmi

Pemangku presidennya, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, suara rakyat harus dihormati dan persoalan berhak dijawab.

Pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz diapit pemangku ketua penerangan Leben Siddarth dan setiausaha agung Amir Hadi pada sidang media hari ini.
PETALING JAYA:
Muda membidas tindakan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil yang memohon semua pihak untuk tidak terlanjur membuat komen berhubung keputusan Lembaga Pengampunan berkaitan hukuman bekas perdana menteri Najib Razak.

Pemangku presidennya, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, beliau kecewa dengan kenyataan Fahmi menyuruh rakyat “berdiam diri” sedangkan PKR diketahui sebagai parti yang memperjuangkan kebebasan bersuara.

“Kita nak minta Fahmi, bila rakyat soal isu ini, jangan suruh rakyat berdiam diri,” katanya pada sidang media hari ini.

“Kamu kena hormat suara rakyat dan jawab soalan rakyat. Ini yang apa kamu patut buat sebagai menteri (komunikasi) dan jurucakap (kerajaan perpaduan).”

Beliau berkata, sekiranya rakyat kecewa kepada isu pengampunan Najib, mereka berhak mempersoalkan kerajaan.

Terdahulu, Fahmi memohon semua pihak untuk menghormati keputusan Lembaga Pengampunan dan tidak terlanjur dalam membuat komen, termasuk di media sosial, kerana tindakan boleh diambil sama ada oleh polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Fahmi berkata, Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa membuat sebarang keputusan, yang telah diputuskan tidak boleh dipersoal di mahkamah.

Semalam, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan bahawa hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda berjumlah RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Dalam pada itu, Amira turut membidas Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa kerana melabel parti itu sebagai tidak matang apabila menolak gesaan agar beliau meletak jawatan.

Amira berkata, ahli Lembaga Pengampunan, khususnya Zaliha dan Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh, harus menjelaskan alasan hukuman penjara dan denda Najib dikurangkan, memandangkan ia kewajipan moral mereka.

Peguam negara dan Zaliha turut menganggotai Lembaga Pengampunan, yang dipengerusikan oleh Agong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.