
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pelajar asing banyak menyumbang kepada ekonomi Malaysia, dengan anggaran perbelanjaan tahun ini sebanyak RM7.3 bilion.
“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) memang pun selama ini bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi serta pelbagai agensi lain untuk tambah bilangan pelajar dan pekerja mahir dalam bidang teknologi tinggi.
“Contohnya projek kolaborasi yang meningkatkan kemahiran graduan kita seperti program latihan bersama industri,” katanya dalam hantaran video di X.
Beliau berkata, tenaga kerja mahir tersebut sememangnya amat diperlukan sekarang dan pelabur tidak boleh menunggu sehingga empat tahun untuk mendapatkan tenaga kerja tempatan.
Tambahan, katanya, bukan semua bidang akan dibenarkan mengambil graduan asing bekerja, tetapi hanya bidang yang kekurangan bakat tempatan yang akan dipertimbangkan.
“Sebagai contoh, industri elektrik dan elektronik perlukan 50,000 jurutera. IPT kita setakat ni cuma keluarkan 5,000 graduan setahun. Jadi nak penuhi permintaan industri akan mengambil masa,” katanya.
Menjawab persoalan tentang pengambilan graduan tempatan yang belum mendapat pekerjaan, Tengku Zafrul berkata, kelulusan graduan tempatan hendaklah sesuai dengan bidang yang diperlukan pelabur.
“Kalau pelabur nak graduan dalam kecerdasan buatan (AI) misalnya takkan kita nak sua (berikan) calon yang ada ijazah sains politik,” katanya.
Tambahnya, langkah membenarkan graduan asing IPT tempatan bekerja sementara di negara ini akan membekalkan industri tempatan dengan tenaga mahir yang diperlukan.
“IPT tempatan (dapat) diperkasa di arena antarabangsa dan graduan tempatan kita akan terus diberi peluang apabila mereka sudah bersedia,” katanya.