Inap desa transit Pati diserbu, 48 ditahan

Inap desa transit Pati diserbu, 48 ditahan

Mereka yang ditahan termasuk termasuk 14 wanita dan tiga kanak-kanak berusia lingkungan enam tahun.

Polis percaya pendatang asing tanpa izin yang ditahan membayar antara RM1,500 hingga RM3,000 untuk diseludup keluar ke Indonesia.
PETALING JAYA:
Polis menahan 48 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia selepas menyerbu sebuah inap desa di Tanjong Karang, yang dipercayai dijadikan rumah transit mereka.

Mereka ditahan dalam Op Pintas Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Balai Polis Kuala Selangor, kira-kira 9.45 malam semalam.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Soffian Santong, berkata Pati ditahan termasuk termasuk 14 wanita dan tiga kanak-kanak berusia lingkungan enam tahun.

“Siasatan mendapati dua lelaki berperanan sebagai penjaga premis dan tekong darat.

“Dipercayai Pati yang ditahan ini membayar antara RM1,500 hingga RM3,000 untuk diseludup keluar ke Indonesia,” katanya, menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, dipercayai kegiatan sindiket terbabit aktif sejak Disember tahun lalu.

Katanya, modus operandi sindiket ialah membawa migran terbabit ke lokasi pelepasan dan bertolak ke Indonesia melalui jalan laut.

“Fokus operasi ini adalah untuk membanteras rangkaian sindiket penyeludupan migran yang aktif di kawasan negeri Selangor.

“Semua tangkapan dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk siasatan bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.