Air hak asasi manusia, jangan politikkan, tegas pengerusi SPAN

Air hak asasi manusia, jangan politikkan, tegas pengerusi SPAN

Charles Santiago berkata kerajaan kini berbelanja besar mengatasi masalah bekalan air antaranya di Kelantan.

Charles Santiago berkata keutamaan juga harus diberikan kepada usaha menjaga sumber air.
PETALING JAYA:
Memastikan hak asasi manusia untuk menikmati bekalan air harus menjadi keutamaan, tegas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago.

Menurut bekas Ahli Parlimen Klang itu, isu berkenaan tidak seharusnya dipolitikkan dan kerajaan kini giat mengatasi masalah dihadapi di beberapa negeri antaranya Kelantan dengan peruntukan besar diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Pada pandangan saya kita tidak seharusnya politikkan kerana air adalah hak asasi manusia” katanya pada program Kerusi Panas bersama Wan Agyl terbitan FMT.

Beliau mengulas usaha kerajaan untuk membantu mengatasi masalah bekalan air di beberapa negeri antaranya Kelantan yang sering dipolitikkan pihak tertentu.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan RM1.1 bilion bagi menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Di Kelantan, projek pembinaan Loji Rawatan Air Machang Fasa 1 berkapasiti 250 juta liter sehari akan dilaksanakan menggunakan dana terbabit.

Bagi mengatasi isu bekalan air di Kota Kinabalu pula, infrastruktur serta peralatan bagi meningkatkan kapasiti loji rawatan air akan diganti manakala di Wilayah Persekutuan Labuan, penggantian paip usang serta membaik pulih infrastruktur air sedia ada akan dilakukan.

Sementara itu, Santiago berkata keutamaan juga perlu diberikan kepada usaha menjaga ekosistem kerana ada beberapa negara di Asia Tenggara telah mula berdepan isu kekurangan air mentah.

Menyifatkannya sebagai amaran, penekanan bukan hanya perlu diberi kepada usaha meningkatkan kemudahan tetapi mengubah mentaliti untuk menggunakan bekalan air secara berhemah.

“Bayangkan jika separuh daripada 1.5 juta kenderaan membasuh kereta setiap hari, berapa banyak air digunakan,” katanya menyifatkan penggunaan purata 230 liter sehari bagi setiap rakyat Malaysia kini sebagai membimbangkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.