
Pada 29 Jan lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz dilaporkan The Edge berkata pihaknya mempertimbangkan membenarkan pelajar asing menamatkan pengajian di institut tempatan bekerja di Malaysia untuk menampung kekurangan tenaga mahir di beberapa sektor termasuk elektrik dan elektronik (E&E).
Menyifatkannya sebagai tidak adil, Isham Jalil berkata cadangan itu jika dilaksanakan akan menyebabkan gaji graduan tempatan lebih rendah, dan paling buruk lebih ramai menganggur.
Tegurnya, kerajaan seharusnya menggalakkan pelajar mengambil jurusan dalam sektor kritikal di universiti awam, memandangkan negara hanya memerlukan tiga hingga empat tahun untuk melahirkan pekerja mahir.
“Bukannya buka ‘flood gate’ untuk graduan dan pekerja asing dalam sektor nilai tinggi pula.
“Kamu ingin jaga graduan tempatan atau graduan asing? Kalau macam ini pemikiran kamu buat dasar, hancurlah negara,” katanya di Facebook.
Tengku Zafrul dilaporkan berkata sektor E&E memerlukan 50,000 jurutera, sebaliknya Malaysia hanya mengeluarkan 5,000 graduan jurutera setahun yang tidak termasuk graduan asing dan warga tempatan belajar di luar negara.
“Sekarang, mereka tidak dibenarkan bekerja (di Malaysia). Mungkin kita boleh melihat kawasan yang tidak mencukupi rakyat Malaysia, terutamanya dalam perkhidmatan nilai tambah (seperti) sektor teknologi tinggi, kita boleh membenarkan pelajar antarabangsa bekerja di Malaysia untuk satu tempoh masa,” katanya memetik laporan The Edge.