Keputusan pengampunan Najib, kerajaan perlu telus, kata Wan Agyl

Keputusan pengampunan Najib, kerajaan perlu telus, kata Wan Agyl

Pengerusi tetap Pemuda Umno itu berkata media juga perlu mengelak daripada 'laporan pramatang' yang menyebabkan orang ramai keliru.

Wan Agyl Wan Hassan menggesa media tidak menerbitkan berita tidak disahkan berkenaan pengampunan Najib Razak kerana ia boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan kepada institusi media.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno menyeru kerajaan segera menyampaikan keputusan permohonan pengampunan Najib Razak, selain menegaskan perlu ada ketelusan serta penjelasan berhubungnya.

Bercakap kepada FMT, Pengerusi Tetap Pemuda Umno Wan Agyl Wan Hassan berkata kurangnya maklumat tentang perkara itu “secara tidak langsung menyemarakkan lagi spekulasi dan maklumat yang tidak betul.

Beliau berkata kerajaan harus mengakui keperluan orang ramai untuk mendapatkan maklumat mengenai perkara itu, tambahnya, ketelusan dan penyampaian maklumat dengan cepat adalah kunci mengekalkan kepercayaan awam dan menghalang penyebaran maklumat yang tidak benar tentang nasib bekas presiden Umno itu.

“Susulan beberapa perkembangan terkini dan spekulasi yang mengelilingi pengampunan Najib, semakin jelas bahawa kenyataan media yang jelas dan berdasarkan fakta diperlukan dengan segera,” kata Wan Agyl.

Beliau juga menyeru media untuk berhenti membuat laporan berdasarkan khabar angin, dan memberi amaran ia mungkin boleh membawa kepada “ketidakstabilan dan ketidakpercayaan awam terhadap institusi media”.

Wan Agyl berkata tindakan sebuah agensi berita yang menarik balik artikel berkaitan perkara itu yang diterbitkan pada awal minggu ini patut dijadikan sebagai “teladan”.

“Kejadian ini menunjukkan risiko laporan pramatang. Laporan sedemikian, walaupun diperbetulkan, boleh meninggalkan kesan yang berpanjangan dan menyumbang kepada kekeliruan awam dan kekacauan emosi,” katanya.

Selasa lalu, Utusan Malaysia memohon maaf berhubung satu artikel yang diterbitkan sebelum ditarik balik pada hari itu yang mendakwa Najib mendapat pengampunan diraja.

Pada hari yang sama, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil mengingatkan media lebih berhati-hati dalam melaporkan berita.

Semalam, portal berita Singapura CNA pula melaporkan, berdasarkan sumber, bahawa hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun.

Wan Agyl mengakui keperluan agensi media untuk mengejar “berita terkini” tetapi berkata mereka juga mempunyai “tanggungjawab untuk memastikan ketepatan”.

“Kita faham keperluan untuk mendapatkan berita terkini tetapi penting untuk agensi media seimbangkan keperluan untuk menjadi paling pantas dengan komitmen melaporkan dengan tepat.

“Spekulasi, terutamanya dalam perkara sensitif seperti ini, boleh menyebabkan ketidakstabilan awam dan ketidakpercayaan terhadap institusi media,” katanya.

Tambahnya, media harus memberi keutamaan kepada maklumat yang disahkan berbanding “perlumbaan untuk menjadi yang pertama”.

Najib memulakan hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dalam kes SRC International.

Peguamnya, Shafee Abdullah dilaporkan berkata, petisyen untuk pengampunan pertama kali dikemukakan pada September 2022 dan tambahan kepada permohonan itu difailkan pada Oktober tahun itu dan April 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.