3 lelaki disyaki samun, kurung wartawan China direman

3 lelaki disyaki samun, kurung wartawan China direman

Polis berkata mangsa berkenalan dengan suspek ketika berjudi di kasino di Genting Highlands.

Polis berkata mangsa dibawa ke sebuah kebun durian berhampiran Genting Highlands, sebelum dipukul dan barangan peribadinya dirampas. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Polis menahan tiga lelaki warga tempatan kerana disyaki terbabit samun dan mengurung seorang wartawan warga China di sebuah kebun durian berdekatan Genting Highlands, Disember lalu.

Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, berkata kejadian bermula apabila mangsa bertemu tiga lelaki tempatan di Genting Highlands yang menawarkan pinjaman cip tunai bernilai RM100,000 untuk berjudi di kasino.

Bagaimanapun, katanya mangsa berusia 40 tahun mengalami kekalahan dan diminta membayar hampir RM200,000 oleh peminjam. Mangsa membayar menerusi transaksi bank dalam talian dari China.

“Selepas itu mangsa diminta lagi untuk pindahkan RM150,000 tetapi pengadu enggan membayar kerana mengesyaki dia ditipu dan diperdaya,” katanya dalam kenyataan.

Zaid berkata, mangsa kemudian dijemput untuk makan malam oleh suspek tetapi dibawa ke sebuah kebun durian berhampiran Genting Highlands, sebelum dipukul dan barangan peribadinya dirampas.

Katanya, mangsa dibawa pula ke sebuah taman perumahan oleh beberapa lelaki dan dipukul sekali lagi sebelum dikurung dalam pondok pengawal keselamatan berhampiran, dengan tangan diikat.

“Dua hari selepas itu, mangsa berjaya melepaskan diri dan mendapatkan bantuan orang awam untuk ke balai polis bagi membuat laporan.

“Susulan laporan itu polis menahan tiga lelaki warga tempatan berusia 32 hingga 53 tahun bagi membantu siasatan,” katanya memaklumkan suspek mengaku meminta wang daripada mangsa.

Menurutnya, semua suspek direman lima hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana kurung secara salah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.