Tiada perbincangan bawa kembali F1 ke litar Sepang, kata Petronas

Tiada perbincangan bawa kembali F1 ke litar Sepang, kata Petronas

Petronas menafikan laporan media antarabangsa bahawa ia akan menganjurkan acara sukan permotoran itu pada 2026.

Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan F1 di SIC sejak 1999 sebelum ditamatkan pada 2017 akibat penurunan jualan tiket dan peningkatan kos untuk menganjurkan pertandingan itu. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Petronas mengesahkan tiada perbincangan diadakan untuk membawa kembali perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC).

Syarikat minyak dan gas multinasional negara memaklumkan perkara itu susulan laporan agensi berita antarabangsa mengenai potensi untuk membawa kembali penganjuran acara sukan permotoran berprestij itu pada 2026.

“Kami mengesahkan bahawa tiada perbincangan mengenai membawa kembali sukan itu ke Litar Antarabangsa Petronas Sepang,” kata Petronas dalam satu kenyataan.

Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan F1 di SIC sejak 1999 sebelum ditamatkan pada 2017 akibat penurunan jualan tiket dan peningkatan kos untuk menganjurkan pertandingan itu.

Bagaimanapun, SIC terus menjadi tuan rumah untuk perlumbaan motosikal MotoGP dan beberapa acara sukan permotoran lain.

Terdahulu hari ini, satu laporan media antarabangsa yang memetik sumber mendakwa Petronas berhasrat membawa kembali perlumbaan F1 ke Malaysia pada 2026 selepas kali terakhir menganjurkan acara itu sembilan tahun lalu.

Menurut sumber, rancangan untuk membawa balik perlumbaan F1 itu didedahkan ketika perjumpaan kakitangan syarikat itu bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.