
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata optimisme yang Presiden Zahid Hamidi tunjukkan pada konvensyen kerajaan perpaduan di Ipoh, Perak baru-baru ini menegaskan hakikat yang ahli parti nasionalis itu harus terima menuju masa depan.
“Umno memang tak boleh tubuh kerajaan sendiri. Kalau bersama Perikatan Nasional pula, Bersatu jadi ancaman kerana tujuan ia ditubuhkan untuk ganti Umno… pengaruh PAS juga semakin melebar,” katanya kepada FMT.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, senada dengan pandangan tersebut tapi PH juga berdepan situasi sama.
“Logiknya, kedua-dua gabungan parti memerlukan antara satu sama lain. PH memerlukan BN untuk melonjakkan sokongan segmen undi Melayu yang mereka tidak perolehi.
“Manakala Umno-BN memerlukan PH untuk membawa undi bukan Melayu yang selama ini gagal diraih oleh MCA dan MIC,” katanya.
Zahid pada konvensyen 28 Jan lepas itu berkata beliau yakin kerajaan perpaduan akan kekal memerintah sehingga selepas PRU16, sekiranya semua peringkat dalam parti-parti gabungan mempertahankan keikhlasan dan kesepakatan, diikuti dengan perundingan yang telus.
Mazlan berkata Umno sebenarnya tidak punyai banyak pilihan dalam persekitaran politik yang tidak lagi mengizinkan ia menjadi suatu hegemoni.
“Sepanjang tempoh bersama kerajaan, Umno kena ambil kesempatan kembalikan sokongan Melayu yang bersamanya sebelum ini,” katanya, mengingatkan bahawa ia perlu bekerja keras atau terus ditolak.
Sementara itu, Hisomuddin belum nampak tanda-tanda bahawa sokongan yang Umno-BN hilang pada beberapa pilihan raya lalu memulih, di sebalik optimisme Zahid.
“Ini kerana terdapat beberapa elemen penolakan terhadap Umno masih belum dilakukan pembaikpulihan,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata situasi parti-parti Melayu lain menjelang PRU16 akan turut mempengaruhi undi Melayu.
“Ini bergantung bagaimana parti-parti Melayu bertahan menjelang PRU16, ini kerana dinamika di dalam Bersatu mahupun PAS dan juga PN itu sendiri boleh mengubah keadaan sekarang.”