Terpedaya pelaburan kripto, akauntan rugi lebih RM700,000

Terpedaya pelaburan kripto, akauntan rugi lebih RM700,000

Mangsa berusia 49 tahun terpedaya selepas terlihat satu pelaburan di Facebook yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

Polis berkata mangsa memasukkan RM776,000 ke dalam 23 akaun bank syarikat berbeza sebelum memperoleh keuntungan, namun diminta membayar untuk mendapatkan wang terbabit.
PETALING JAYA:
Seorang akauntan di Batu Pahat, Johor, kerugian lebih RM700,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan mata wang kripto tidak wujud di media sosial, dalam kejadian sejak tahun lalu.

Mangsa berusia 49 tahun terpedaya selepas terlihat satu pelaburan di Facebook yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat pada Oktober 2023.

Ketua Polis Batu Pahat, Ismail Dollah, berkata mangsa kemudian berurusan dengan empat individu berlainan menerusi WhatsApp.

Katanya, urusan itu antara lain untuk menyertai selain tawaran bakal diberikan kepada mangsa, jika dia berminat membuat pelaburan jual beli mata wang kripto.

“Mangsa kemudian diminta memuat turun satu aplikasi dikenali ‘Accerx Malaysia’.

“Pada masa sama, mangsa turut memberikan maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan dan maklumat akaun bagi tujuan pendaftaran,” katanya dalam kenyataan menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mangsa kemudian memasukkan wang berjumlah RM776,000 ke dalam 23 akaun bank syarikat berbeza secara berperingkat, sebelum memperoleh keuntungan.

“Namun, mangsa diminta membuat bayaran sebanyak 1% daripada keuntungan itu sekiranya mahu mendapatkan wang terbabit.

“Selepas gagal membuat bayaran seperti diarahkan, akaun pelaburan mangsa disekat. Sehingga kini, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang sedar ditipu membuat laporan polis pada 21 Jan lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.