Paksa rakan senegara melacur, ‘ibu ayam’ Tanzania ditahan

Paksa rakan senegara melacur, ‘ibu ayam’ Tanzania ditahan

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Ruslin Jusoh berkata modus operandi sindiket adalah menjanjikan pekerjaan termasuk peluang melanjutkan pelajaran di Malaysia.

Imigresen berkata mangsa dikawal ahli sindiket untuk dieksploitasi sebagai pekerja seks selain pasport turut dipegang dan disimpan tanpa kerelaan. (Gambar Imigresen)
PETALING JAYA:
Seorang wanita warga Tanzania yang mengeksploitasi rakan senegara sebagai pekerja seks ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di ibu negara, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ruslin Jusoh, berkata operasi 4.30 petang itu hasil risikan pasukannya dan maklumat Suruhanjaya Tinggi Republik Tanzania di Kuala Lumpur, selepas seorang wanita negara itu diselamatkan daripada kegiatan pemerdagangan orang.

“Seorang wanita warga Tanzania berusia 32 tahun dikenali sebagai ‘madam’ disyaki menyalahgunakan kemudahan pas pelajar dengan menjadi ‘ibu ayam’ berjaya ditahan dalam operasi itu,” katanya dalam kenyataan.

Hasil maklumat, beliau berkata wanita berusia 29 tahun itu menjadi mangsa eksploitasi dengan dijanjikan pekerjaan oleh sindiket yang menguruskan kemasukannya ke Malaysia.

“Wanita itu dikawal ahli sindiket yang juga warga Tanzania untuk dieksploitasi sebagai pekerja seks selain pasport turut dipegang dan disimpan tanpa kerelaan.

“Mangsa yang diselamatkan kemudian ditempatkan di rumah perlindungan bawah arahan perlindungan sementara ‘Interim Protection Order’ (IPO),” katanya.

Ruslin berkata, modus operandi sindiket adalah menjanjikan pekerjaan termasuk peluang untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia.

“Selain itu, ahli sindiket dikesan sering berpindah dari satu kediaman mewah ke kediaman mewah lain bagi mengelak kegiatan dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Jika disabitkan kesalahan, mana-mana individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun atau penjara seumur hidup selain hukuman sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.