
Mohamad Madani Sahari, 57, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Dia didakwa secara tidak jujur menyalah guna dana milik MARii berjumlah RM1,630,200 melalui cek LPS Learning Platform iaitu untuk membuat bayaran rawatan stemcell 500,000 di VHG Wellness di cawangan sebuah bank di Seksyen 20, antara 13 Julai 2020 dan 26 April 2021.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memohon mahkamah agar mengguna pakai jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah seperti yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.
“Kami juga memohon kes ini dipindahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Jenayah 8 di Kuala Lumpur,” katanya.
Peguam Rahmat Mohamed Hazlan dan Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan berkenaan.
Awang Kerisnada membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Feb.
Semalam, lelaki itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menipu Lembaga Pengarah MARii bagi mendapatkan kontrak penyediaan latihan automotif bernilai RM6.4 juta, lima tahun lalu.
Sebelum ini, Madani juga didakwa di tiga mahkamah berasingan di sini, Kuala Lumpur dan Alor Setar membabitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.