Kerjasama, bukan tuding jari kepada ahli politik; PBT, pengarah JSJ diberitahu

Kerjasama, bukan tuding jari kepada ahli politik; PBT, pengarah JSJ diberitahu

Kerjasama antara polis dan PBT ialah penyelesaian lebih baik untuk menjamin kesejahteraan penduduk, menurut Adun Kota Kemuning S Preakas.

Adun Kota Kemuning S Preakas berkata, kedua-dua polis dan PBT komited dalam melaksanakan tugas mereka dengan baik.
PETALING JAYA:
Seorang Adun Selangor menggesa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Shuhaily Zain untuk bekerjasama dengan wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan kesejahteraan penduduk.

Adun Kota Kemuning S Preakas daripada DAP berkata, langkah itu lebih baik berbanding sekadar menuding jari terhadap wakil rakyat dan PBT yang dikatakan gagal dalam perancangan bandar.

“Perkara utama adalah bagi mencari penyelesaian kepada masalah dan bukannya menuding jari kepada orang lain.

“Kedua-dua pihak iaitu polis dan PBT komited dalam menjaga pekerjaan mereka untuk kebaikan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, sebuah “perdebatan panas” tercetus antara Shuhaily dengan Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau ketika sesi dialog di Dewan Persatuan Hokkien Klang.

Pada sesi itu, Shuhaily menuduh ahli politik dan PBT gagal melaksanakan perancangan bandar yang mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan penduduk.

Bagaimanapun, Ganabatirau berkata, hanya ahli majlis PBT terlibat dalam sebarang perancangan bandar, namun bukan semua Adun.

Dalam pada itu, menurut Preakas, pelantikan Datuk Bandar dan Yang Dipertua (YDP) PBT dibuat oleh jawatankuasa khas dan tidak dipengaruhi oleh Adun atau Ahli Parlimen.

Senarai pendek calon kemudiannya diserahkan kepada menteri besar untuk persetujuannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.