Tak perlu kecil hati, hak Anwar lantik Syed Hussin, kata Puad

Tak perlu kecil hati, hak Anwar lantik Syed Hussin, kata Puad

Ahli MKT Umno itu berkata, ada baiknya perdana menteri mempelawa Ahli Parlimen pembangkang menganggotai jawatankuasa tertentu.

Dua pemimpin PKR berkata, tidak janggal melantik wakil pembangkang mengetuai jawatankuasa tertentu kerana BN pernah berbuat demikian ketika berkuasa dan Ahli Parlimen kerajaan masih boleh menyumbang idea kepada jawatankuasa itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parti dalam kerajaan perpaduan tidak perlu berkecil hati dengan keputusan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim melantik Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dari pembangkang mengetuai jawatankuasa berkaitan isu menangani harga makanan dan kos sara hidup.

Ini kerana, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, kuasa melantik individu mengetuai jawatankuasa tertentu hak perdana menteri.

“Syed Hussin sudah menyatakan sokongan kepada Anwar. Tidak ada pihak yang perlu berkecil hati, terutama dalam kalangan parti yang mendokong kerajaan perpaduan, bahkan Umno sendiri menerima baik rombakan Kabinet oleh Anwar, walaupun melibatkan menteri Umno.

“Ada baiknya kalau perdana menteri mempelawa Ahli Parlimen pembangkang lain duduk dalam jawatankuasa ini atau jawatankuasa lain. Apakah mereka sudi menerimanya demi rakyat,” katanya kepada FMT.

Semalam, Anwar mengumumkan Syed Hussin dari Perikatan Nasional (PN) dilantik mengetuai jawatankuasa berkaitan isu menangani harga makanan dan kos sara hidup di bawah Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol).

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Yahya Mat Sahri berkata, walaupun jawatankuasa itu dipengerusikan wakil rakyat pembangkang, ia tidak bermakna Ahli Parlimen kerajaan tidak boleh menyumbang idea.

“Malah, pelantikan Syed Hussin sudah tentu dibuat selepas mengambil kira pelbagai sudut, termasuk berpengalaman luas dalam bidang korporat dan syarikatnya tersenarai dalam bursa saham. Saya juga tidak nampak pelantikan itu sebagai imbuhan (selepas sokong PM).”

Seorang pemimpin PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, keputusan melantik wakil pembangkang mengetuai jawatankuasa tertentu tidak janggal kerana beliau pernah dilantik pengerusi kaukus pekerja ketika Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan.

“Anwar lantik wakil pembangkang itu bijak sepertimana dilakukan Presiden Indonesia, Joko Widodo melantik Prabowo sebagai menteri, walaupun Prabowo lawan politik bertanding merebut jawatan presiden. Ia demi memastikan perpaduan dalam mentadbir negara.

“Saya dulu dari pembangkang, tapi saya dilantik pengerusi kaukus pekerja walaupun kerajaan waktu itu BN. Tak kira orang itu dari kerajaan atau pembangkang, kalau dia ada pengalaman, kepakaran untuk kebaikan rakyat, apa masalah?” kata bekas Ahli Parlimen tiga penggal mewakili Kuala Langat dan Kapar itu.

Setiausaha Veteran Veteran Umno, Mustapha Yaakub berkata, pelantikan Syed Hussin mampu meredakan suhu politik dalam negara dan membolehkan Anwar memfokuskan usaha memulihkan ekonomi Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.