N Sembilan larang kawasan kediaman jadi asrama pekerja asing

N Sembilan larang kawasan kediaman jadi asrama pekerja asing

Exco negeri J Arul Kumar berkata majikan diberi tempoh hingga hujung tahun ini untuk memindahkan pekerja mereka ke kawasan komersial.

Negeri Sembilan tidak akan membenarkan lagi kawasan kediaman dijadikan asrama pekerja asing.
PETALING JAYA:
Negeri Sembilan memutuskan kawasan berstatus kediaman di negeri itu tidak boleh lagi dijadikan asrama untuk menempatkan pekerja asing.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar, berkata majikan di negeri itu diberi tempoh hingga hujung tahun ini untuk memindahkan semua pekerja mereka, lapor Sinar Harian.

“Sebelum tempoh ini tamat semua pekerja asing yang ditempatkan di kawasan berstatus kediaman perlu dipindahkan ke kawasan komersial atau pusat penempatan pekerja asing (CLQ).

“Oleh itu, pembinaan atau pertukaran secara keseluruhan sesuatu bangunan kepada CLQ mengikut syarat-syarat yang ditetapkan adalah digalakkan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Arul berkata, CLQ yang dibina nanti mestilah suatu kawasan berpagar dan dapat dikawal serta mempunyai semua kemudahan asas.

Katanya, dengan pelaksanaan itu isu berpunca daripada pekerja warga asing di kawasan perumahan seperti gangguan dan kebersihan dapat diselesaikan.

“Selain itu, CLQ juga perlu mematuhi semua syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Tenaga Kerja.

“Ini juga akan menjamin hak setiap pekerja warga asing dalam mendapatkan tempat tinggal yang selesa dan selamat,” katanya memaklumkan kerajaan negeri akan membantu dalam pelbagai aspek untuk membina CLQ itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.