
Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari, berkata beliau selaku orang luar sangat setuju dengan bayangan diberikan Zahid ketika Konvensyen PH Perak di Ipoh semalam.
“Selaku orang luar, saya sangat-sangat bersetuju dengan pengumuman ini. Walaupun PRU16 masih lambat lagi, tetapi hala tuju telah dinyatakan awal, iaitu kekal hingga selepas PRU16 menuju PRU17.
“Justeru, orang Melayu boleh buat kesimpulan mudah bagi menentukan pendirian mulai sekarang lagi. Kerjasama ini bukanlah sementara sahaja kerana ‘titah Agong’ tetapi lebih daripada itu lagi,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas di Facebook.
Fadhli berkata, kenyataan timbalan perdana menteri itu juga sudah pasti akan disambut baik penyokong PH sendiri.
“Apa jua pendekatan dan kenyataan yang akan dibuat oleh pemimpin PH selepas ini, sudah diberikan ‘insurans awal’ oleh pengerusi BN sendiri.
“Saya yakin, pengundi-pengundi PH juga sangat setuju dengan pengumuman ini,” katanya.
BN dan PH membentuk kerjasama dan menubuhkan kerajaan perpaduan bersama beberapa parti lain selepas tiada gabungan mampu mendapat bilangan kerusi minimum untuk menubuhkan kerajaan selepas PRU15.
Namun, pengundi Melayu tidak memihak kepada gabungan tersebut sebaliknya sebahagian besar memilih mengundi Perikatan Nasional (PN).