Mahkamah Tinggi ketepi larangan bersuara penerbit ‘Mentega Terbang’

Mahkamah Tinggi ketepi larangan bersuara penerbit ‘Mentega Terbang’

Hakim mendapati larangan bersuara yang dikeluarkan majistret itu 'tidak wajar'.

Tan Meng Kheng didakwa di Mahkamah Majistret pada 17 Jan lalu dengan niat melukakan perasaan agama orang lain.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengetepikan perintah larangan bersuara terhadap penerbit filem tempatan “Mentega Terbang” oleh mahkamah rendah.

Lawyers for Liberty (LFL) dalam kenyataan berkata, permohonan semakan perintah larangan bersuara yang dikeluarkan Mahkamah Majistret pada 17 Jan lalu itu ke atas Tan Meng Kheng didengar Hakim Mahkamah Tinggi, Jamil Hussin.

LFl berkata, selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, hakim memutuskan pihak pendakwaan gagal memenuhi “risiko sebenar dan besar terhadap keadilan perbicaraan”.

Menurut LFL, Jamil berkata “perintah larangan bersuara yang dikeluarkan majistret tidak wajar, dengan ini ia diketepikan”.

“Prosiding di depan majistret tidak mendedahkan sebarang ancaman jelas atau akan berlaku terhadap keadilan perbicaraan.

“Tiada material di depan mahkamah untuk menunjukkan terdapat risiko sebenar dan besar terhadap keadilan perbicaraan,” kata LFL, memetik alasan penghakiman.

Tan diwakili peguam N Surendran dan Zaid Malek, masing-masing penasihat serta pengarah LFL. Beliau turut diwakili peguam Nabila Khairuddin, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor, Azizah Aling dan Nadia Izhar.

Tan, bersama pengarah filem itu, Khairi Anwar Jailani, didakwa di Mahkamah Majistret berasingan di Kuala Lumpur pada 17 Jan lalu kerana sengaja melukakan perasaan agama orang lain.

Dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 17 Jan lalu, Majistret Aina Azahra Arifin mengeluarkan larangan bersuara terhadap Tan untuk menghalangnya mengeluarkan komen berkaitan kes itu sepanjang perbicaraan. Dia dibenarkan diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin.

“Mentega Terbang” ialah filem bebas tentang konflik agama dihadapi remaja beragama Islam Aisyah, yang meneroka agama lain, khasnya untuk mendapatkan jawapan terhadap persoalan kehidupan selepas kematian.

Kementerian Dalam Negeri mengharamkan filem itu pada 1 Sept, tindakan disifatkan kedua-duanya “tidak rasional” dan melanggar kebebasan bersuara dijamin bawah Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.