Naik gaji sebelum mansuh pencen, Cuepacs beritahu kerajaan

Naik gaji sebelum mansuh pencen, Cuepacs beritahu kerajaan

Cuepacs berkata gaji penjawat awam perlu dinaikkan supaya mampu mencarum KWSP.

Cuepacs berpendirian sistem persaraan ketika ini merupakan yang terbaik serta bersesuaian dengan kedudukan gaji penjawat awam bagi mereka meneruskan kehidupan di hari tua. (Gambar Bernama)
KUALA NERUS:
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap masih terdapat ruang perbincangan antara pihaknya dengan kerajaan sebelum dasar baharu pengambilan penjawat awam secara tetap tetapi tidak berpencen dilaksanakan.

Presiden Adnan Mat berkata, Cuepacs berpendirian sistem persaraan yang ada ketika ini merupakan yang terbaik serta bersesuaian dengan kedudukan gaji penjawat awam bagi mereka meneruskan kehidupan di hari tua nanti.

“Jika kerajaan ingin membuat suatu keputusan dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) termasuk memansuhkan sistem pencen, kerajaan perlu meningkatkan gaji yang lebih besar supaya kami mampu untuk mencarum (dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan mampu berbelanja serta menyimpan untuk hari tua,” katanya kepada pemberita pada Majlis Solidariti Cuepacs Zon Timur Bersama Presiden Cuepacs, malam semalam.

Adnan Mat.

Adnan berkata, gaji diterima penjawat awam kini disifatkannya “cukup-cukup makan” sehingga ada penjawat awam tidak mampu memiliki rumah sendiri dan sistem pencen sedia ada merupakan kemudahan buat mereka meneruskan kehidupan selepas persaraan.

Beliau berkata, keputusan pemansuhan pemberian pencen juga dikhuatiri akan membawa “kesuraman” kepada perkhidmatan awam pada masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menyeru kerajaan segera menaikkan gaji penjawat awam tanpa perlu menunggu pelaksanaan SSPA yang mungkin siap hujung tahun ini berikutan situasi kenaikan kos sara hidup dan harga barangan ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.