Betulkan niat ke Tanah Suci, menteri beritahu jemaah

Betulkan niat ke Tanah Suci, menteri beritahu jemaah

Menteri agama berkata niat selain tujuan ibadat dikhuatiri boleh mencalar nama baik negara.

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki bersama dua kanak-kanak bersilat di hadapan Masjid Nabawi dengan lengkap berpakaian tradisi Melayu.
PUTRAJAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar menasihati individu atau jemaah membetulkan niat ketika mengunjungi Tanah Suci, semata-mata untuk beribadat.

Beliau berkata, niat selain tujuan ibadat dikhuatiri bukan sahaja berpotensi menjejaskan ibadah, tetapi boleh mencalar nama baik negara.

“Sebab itu, saya kata bila niat untuk tujuan ibadah, saya bimbang kalau ada niat yang lain, nak buat pertunjukan silat dan sebagainya, ia akan ‘ganggu’ kita daripada niat asal untuk melakukan ibadah. Ia dibimbangi menjejaskan nama baik negara.

“Nasihat saya kepada mereka yang nak kunjungi atau ziarah ke Masjidil Haram atau Masjid Nabawi, perbetulkan niat masing-masing, kita tumpukan ibadah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan peserta acara larian sempena program Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Run 2024-Powered by Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

Beliau mengulas satu video tular membabitkan seorang lelaki bersama dua kanak-kanak lelaki bersilat di hadapan Masjid Nabawi dengan lengkap berpakaian tradisi Melayu.

Perbuatan berkenaan mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya yang mengatakan sebagai tidak wajar dan tidak beradab selain menjejaskan nama Malaysia.

Na’im bagaimanapun berkata, beliau tidak melihat kejadian itu boleh menjejaskan jumlah kuota haji yang diberikan kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia.

Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini adalah 31,600 orang jemaah.

Mengenai proses pemutihan bantuan zakat bulanan, Na’im berkata data MAIWP sedia ada akan diintegrasikan dengan Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) bagi memastikan bantuan hanya disalurkan kepada individu layak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.