
Adrian Pereira dari North-South Initiative berkata, menubuhkan RCI bermakna ada satu pasukan penyiasat lebih cekap untuk menyiasat sistem pengurusan dan masalah tenaga buruh.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, baru-baru ini berkata RCI dengan pakar dalam bidang itu akan membantu mengenal pasti punca utama masalah sistem tenaga buruh seperti pemboleh utama, jejak kertas dan wang, dan kelompangan undang-undang.
Naib pengerusi DAP itu berkata, laporan RCI perlu dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat.

Pereira memberitahu FMT, RCI akan memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya bertindak terhadap “kucar-kacir” yang berlaku dalam sistem pengurusan pekerja asing
Katanya, laporan RCI pada 2014 berkenaan isu pendatang asing di Sabah lebih menyeluruh berbanding laporan pada 2019 oleh Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing yang dinyahrahsia pada 2022, didakwanya sebagai “terlalu samar dan tidak pergi kepada penyelesaian”.
Kumpulan masyarakat sivil boleh bantu RCI
Irene Xavier dari Persatuan Sahabat Wanita Selangor pula berkata, penyiasat RCI perlu menyiasat amalan rasuah dalam sistem pengurusan negara yang berurusan dengan isu penahanan pekerja asing, di mana mereka adalah mangsa dan bukan dalang penyeludupan manusia.
Katanya, siasatan juga perlu dilakukan terhadap kehidupan dan keadaan tempat tinggal pekerja asing, dan kumpulan masyarakat sivil boleh membantu penyiasat jika ada peluang.

“Kami sudah ada laporan yang menggesa dasar dikuatkuasakan terhadap pekerja asing, yang kami hantar kepada tiga menteri sumber manusia sebelum ini,” katanya kepada FMT.
“Kami sekali lagi menghantar (laporan ini) kepada Steven Sim (menteri sumber manusia) pada tahun ini. Kami menyenaraikan semua cadangan berkaitan perkara daripada pengambilan kepada keadaan kehidupan dan tempat tinggal sehingga kepada tangkapan dan penahanan.”
Perlu penyelesaian segera
Bagaimanapun, Pereira berkata agenda RCI bersifat jangka panjang, tambahnya Malaysia harus segera menyelesaikan keperluan pekerja asing dan mengambil tindakan terhadap penyeludupan manusia.
“Jangan lupa kita sudah ada Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (Naptip) dan Pelan Tindakan Nasional Buruh Paksa (NAPFL).
“Persoalannya adakah penjawat awam ada kemahuan untuk melaksanakan cadangan oleh Naptip dan NAPFL secara menyeluruh. Atau konflik kepentingan menghalang pembaharuan itu?”
‘RCI bukan keutamaan’
Sementara itu, aktivis hak pekerja asing Andy Hall berkata penubuhan RCI bukan keutamaan, berdasarkan maklumat daripada laporan sebelum ini berkenaan sistem pekerja asing dan juga masalah buruh paksa di Malaysia.
Katanya, kerajaan seharusnya melaksanakan cadangan diberikan sebelum ini, seperti meletakkan perkara berkaitan pengambilan pekerja asing bawah Pejabat Perdana Menteri atau menubuhkan Jawatankuasa Jemaah Menteri khas atau sementara.

“Mencadangkan satu lagi jawatankuasa atau satu lagi proses untuk menilai pandangan hanya satu taktik untuk melambat-lambatkan. Cukup-cukuplah.
“Ahli Politik dan teori boleh cakap selamanya tetapi kita perlukan tindakan, tiada lagi mesyuarat dan bercakap,” katanya.