Wanita 80 tahun rugi lebih RM10 juta terpedaya pelaburan kripto

Wanita 80 tahun rugi lebih RM10 juta terpedaya pelaburan kripto

Polis berkata warga emas itu diperdaya selepas dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp yang mempromosikan skim pelaburan.

Polis berkata mangsa diperdaya untuk melakukan 13 transaksi bayaran ke beberapa akaun bank berjumlah RM10 juta.
KUALA LUMPUR:
Seorang wanita warga emas kerugian lebih RM10 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud berasaskan mata wang kripto.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata pesara berusia 80 tahun itu membuat laporan polis semalam dengan memaklumkan menyertai skim pelaburan setelah dimasukkan ke dalam kumpulan sembang WhatsApp yang mempromosikan skim pelaburan itu.

“Melalui kumpulan sembang itu, pengadu (wanita warga emas) berurusan dengan seorang lelaki yang kononnya akan mendahulukan wang untuk pembelian kripto dan pengadu diminta membuat bayaran balik setelah pembelian kripto itu berjaya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata wanita terbabit yang terpedaya dengan helah itu telah melakukan 13 transaksi bayaran ke beberapa akaun bank atas nama lapan syarikat yang berbeza berjumlah RM10 juta.

Menurut Ramli, wanita itu mulai sangsi terhadap kesahihan pelaburan berkenaan apabila masih diminta membuat beberapa bayaran tambahan atas pelbagai alasan.

Ramli berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya menasihatkan orang ramai terutama warga emas supaya lebih berwaspada serta tidak mudah percaya terhadap tawaran pelaburan dalam talian yang dipromosikan melalui laman sosial.

“Lakukan semakan dengan agensi yang berkaitan termasuk Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum mengambil keputusan untuk menyertai skim pelaburan,” katanya.

Beliau berkata untuk sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi balai polis berhampiran atau mengemukakan pertanyaan kepada CCID Infoline melalui talian 013-2111 222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.