Terima deposit RM100,000 tanpa lesen, pesakit kronik didakwa

Terima deposit RM100,000 tanpa lesen, pesakit kronik didakwa

Tertuduh yang juga pesakit buah pinggang tahap akhir dibenar ikat jamin RM20,000.

Sai Bee Nyean, 59, didakwa menerima deposit tanpa lesen sah yang melanggar Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. (Gambar Bernama)
BUTTERWORTH:
Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan menerima deposit tanpa lesen lebih RM100,000, dua tahun lalu.

Sai Bee Nyean, 59, pesakit buah pinggang tahap akhir didakwa menerima deposit daripada seorang wanita berjumlah RM103,635 tanpa lesen sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara Mei 2022 hingga Ogos 2022 di sebuah premis di Lorong Melor, Sintat Garden Off Jalan Raja Uda, Butterworth.

Sai didakwa di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak tidak menawarkan sebarang jaminan, namun peguam Ch’ng Kim Hock yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan kerana anak guamnya seorang pesakit buah pinggang tahap akhir yang memerlukan rawatan dialisis beberapa kali seminggu.

Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 26 Feb untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.