STR Fasa 1 naik hingga RM500, mula dibayar 29 Jan

STR Fasa 1 naik hingga RM500, mula dibayar 29 Jan

Peruntukan bagi STR Fasa 1 meningkat sebanyak 26% daripada RM1.67 bilion tahun lalu kepada RM2.1 bilion.

Anwar Ibrahim berkata, STR Fasa 1 akan mula dibayar kepada hampir sembilan juta penerima bermula 29 Jan ini bagi membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup.
PETALING JAYA:
Kerajaan menaikkan kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 sehingga RM500 kepada isi rumah berbanding bayaran maksimum RM300 pada tahun lalu.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, STR Fasa 1 akan mula dibayar kepada hampir sembilan juta penerima bermula 29 Jan ini bagi membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup.

“Setiap kali saya ketemu rakyat, perihal utama diutarakan adalah beban kos sara hidup yang kian meningkat lebih deras daripada pendapatan.

“Saya akur akan keperitan ini, justeru kerajaan giat berusaha memastikan bantuan kerajaan dapat dipertingkat dengan lebih ketara agar masalah asas ini dapat dileraikan dan tiada rakyat di belakang di bawah pentadbiran kerajaan Madani,” katanya dalam kenyataan.

Menteri kewangan itu berkata, peruntukan bagi Fasa 1 meningkat sebanyak 26% daripada RM1.67 bilion tahun lalu kepada RM2.1 bilion.

“Selaras pendekatan Ekonomi Madani untuk meninggikan lantai dari segi kualiti hidup rakyat, kerajaan akan mengutamakan dan memastikan isi rumah berpendapatan rendah terus diberi bantuan sewajarnya.”

Katanya, kerajaan sentiasa peka dengan keluhan rakyat dan akan terus menambah baik STR dalam usaha membantu rakyat mendepani cabaran kos sara hidup.

Seramai 8.2 juta individu layak berdaftar untuk STR 2024, tetapi jumlah itu dijangka meningkat kepada hampir 9 juta tahun ini, mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.