Semak semula prosedur akaun klien, Bukit Aman beritahu Majlis Peguam

Semak semula prosedur akaun klien, Bukit Aman beritahu Majlis Peguam

Pengarah JSJK Ramli Yoosuf mencadangkan agar peguam tidak mempunyai kawalan eksklusif ke atas wang klien bagi mengelakkan penyelewengan dana.

Pengarah JSJK Ramli Yoosuf mencadangkan agar mekanisme pemilik tunggal bagi akaun klien dihapuskan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bukit Aman menggesa Majlis Peguam menyemak semula prosedur pengurusan akaun yang dibuka oleh peguam untuk klien mereka berikutan beberapa kes pecah amanah (CBT) yang dilaporkan tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Yoosuf mencadangkan mekanisme pemilik tunggal dihapuskan.

Akaun klien ialah akaun khas yang digunakan oleh peguam untuk memegang wang milik anak guam mereka secara amanah.

Akaun ini paling lazim digunakan oleh peguam yang mengendalikan pemindahhakan untuk menyimpan wang sementara menunggu urus niaga jual beli hartanah selesai.

Menerusi mekanisme pemilik tunggal, peguam mempunyai kawalan eksklusif ke atas akaun klien mereka.

Bagaimanapun, Ramli berkata, mekanisme itu perlu ditambah baik, dan mencadangkan agar klien dilibatkan dalam proses itu sebagai “semak dan imbang”.

“Jika dua penandatangan diperlukan (untuk transaksi), ia boleh mengelakkan kemungkinan berlakunya penyelewengan dana,” katanya pada sidang media.

Ramli berkata, setakat 24 Jan sahaja, lapan kes CBT dikesan melibatkan kerugian kira-kira RM7.4 juta, berbanding 88 kes antara 2021 dan 2023 yang mengakibatkan kerugian melebihi RM88 juta.

“Purata kerugian yang direkodkan membimbangkan, kira-kira RM998,333 setiap kes,” katanya.

Beliau memetik kes di mana dana daripada jualan hartanah tidak diserahkan kepada klien.

Mangsa, seorang ahli perniagaan berusia 60 tahun, kemudian mendapati dana yang diperoleh daripada penjualan aset itu digunakan oleh pemilik firma untuk tujuan lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.