Pencen penjawat awam sedia ada tak terjejas

Pencen penjawat awam sedia ada tak terjejas

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, tiada perubahan pada skim pencen penjawat awam yang sudah bekerja dengan kerajaan pada masa ini.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan komited menambah baik kebajikan penjawat awam. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Penjawat awam sedia ada yang memilih skim pencen tidak akan terkesan dengan sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dimuktamadkan, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Pada sidang media pertamanya hari ini, beliau berkata, kerajaan komited untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam dan pesara sentiasa terbela.

“Saya ingin menekankan daripada segi pencen, kerajaan tidak berhasrat untuk mengubah (skim pencen) kepada mereka yang dah ada,” katanya.

“Jadi kalau penjawat awam itu dah bekerja dengan kerajaan, tiada apa akan bertukar, (cuma) untuk mereka yang baru masuk, akan masuk secara kontrak buat masa sekarang.”

Turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Johan Mahmood Merican.

Amir Hamzah yang dilantik 12 Dis lepas susulan rombakan Jemaah Menteri berkata, tahun ini kerajaan memperuntukkan RM31 bilion bagi pembayaran pencen kepada pesara, dan angka itu dijangka meningkat ke RM120 bilion pada 2040.

Beliau turut menarik perhatian bahawa dari segi pengurusan kewangan negara, 48% belanjawan negara disalurkan kepada emolumen dan pencen.

“Jika dapat ringankan beban (kerajaan) yang ada, boleh salur kelebihan tu kepada bahagian lain yang penting untuk rakyat dan negara, seperti pendidikan dan kemudahan infrastruktur yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan memahami peranan penjawat awam dalam pentadbiran negara penting, justeru kerajaan komited menambah baik kebajikan penjawat awam.

Ini termasuk pembayaran bonus RM2,000 depan, serta peruntukan RM2.4 bilion untuk membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam, guru, hospital, anggota polis, tentera dan bomba.

“Kerajaan juga akan memuktamadkan pelarasan gaji penjawat awam tahun ini selepas kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA),” katanya.

Selasa lepas, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam surat pekeliling bertarikh 15 Jan menyatakan, satu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan bagi mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di Malaysia.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz memaklumkan, susulan penetapan kaedah lantikan tetap baharu itu, Jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya dalam tempoh peralihan (interim) sebelum penguatkuasaan kaedah itu, pengambilan pegawai awam ke perjawatan tetap akan dilaksanakan secara lantikan kontrak berkuat kuasa tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi pula dilaporkan berkata, pengambilan penjawat awam baharu secara kontrak dilakukan untuk tempoh singkat sebelum Jemaah Menteri meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.