
Naib presiden Amanah berkata, kerajaan akan menjawab segala isu berbangkit mengenai perkara itu nanti.
“Kami dalam Dewan (Dewan Rakyat) nanti akan bahas…menteri kena jawab.
“Backbencher (penyokong kerajaan), (dan) pembangkang boleh bangkitkan. Ini adalah sebagai semak dan imbang,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Kementerian Kesihatan (KKM).
Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mencadangkan pemansuhan skim pencen wajar dimulakan dalam kalangan wakil rakyat, bukannya penjawat awam.
Akmal yang juga exco Melaka berkata, tidak wajar wakil rakyat terus menerima pencen sedangkan skim itu dimansuhkan untuk kumpulan penjawat awam.
Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata pelantikan kontrak penjawat awam hanya untuk tempoh singkat sebelum Jemaah Menteri meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen.
Katanya, langkah itu bagi mengurangkan beban kerajaan untuk pembayaran pencen, yang mana sebanyak RM120 bilion perlu ditanggung pada 2040 jika tiada sistem baharu ini.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata mana-mana pihak berhak menyuarakan cadangan berhubung isu berkenaan.
“Itu hak sesiapa nak syorkan. Cadangan itu ada meritnya sendiri semua berhak beri cadangan. Jangan ambil (pelaksanaan lantikan kontrak dan tidak mempunyai pencen) itu sebagai negatif,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata proses pengambilan graduan perubatan sebagai doktor pelatih masa ini lebih baik daripada dulu.
Beliau berkata, tiada istilah “penantian satu penyeksaan” lagi berhubung isu itu.
“Untuk pengetahuan semua proses lebih baik. Kalau dulu tunggu dalam masa dua tahun tetapi sekarang hanya menunggu dua bulan. Kita lakukan (sebanyak) enam pusingan dan ia jauh lebih baik dan cekap,” katanya.
Sebelum ini, Malaysia Medics International (MMI) menggesa kerajaan mempercepatkan proses pengambilan graduan perubatan sebagai doktor pelatih, sekali gus memastikan peralihan tenaga kerja daripada graduasi kepada sistem latihan yang lebih cepat.