RCI Batu Puteh ‘urusan dalaman Malaysia’, kata Singapura

RCI Batu Puteh ‘urusan dalaman Malaysia’, kata Singapura

Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura berkata penubuhan suruhanjaya siasatan diraja itu tidak akan menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2008 memutuskan bahawa Batu Puteh milik Singapura. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir selatan “adalah urusan dalaman Malaysia”, menurut Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura (MFA).

“RCI adalah urusan dalaman Malaysia.

“Kami tidak melihat perkara ini menjejaskan hubungan baik antara Singapura dan Malaysia,” menurut kementerian itu kepada The Straits Times.

Menurut kementerian itu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah membuat keputusan mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 23 Mei 2008, dan ini adalah keputusan muktamad yang dihormati kedua-dua negara.

Semalam, Putrajaya bersetuju menubuhkan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata penubuhan RCI adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), manakala cadangan keanggotaan RCI akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Cadangan ahli-ahli ini akan mengambil kira komposisi pakar-pakar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kehakiman, undang-undang, dan pentadbiran awam serta dapat melaksanakan siasatan dengan telus, adil dan saksama bagi mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak-pihak yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada 2008, ICJ memutuskan bahawa Batu Puteh milik Singapura, Batuan Tengah milik Malaysia dan Tubir Selatan kepunyaan negeri di perairan wilayah ia berada.

Malaysia memohon kepada ICJ untuk meminta tafsiran penghakiman itu pada 2017.

Bagaimanapun, pada 2018, pentadbiran pimpinan Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan untuk membatalkan keputusan ICJ itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.