Komisen 8%, produk kesihatan tak dapat; lebih RM422,000 lesap

Komisen 8%, produk kesihatan tak dapat; lebih RM422,000 lesap

Polis berkata suspek mengarahkan mangsa membuat bayaran tambahan sambil memberi pelbagai alasan selepas mangsa meminta bayaran balik dan komisen yang dijanjikan.

Polis berkata kejadian berlaku mulai bulan lalu selepas mangsa berminat dengan tawaran perniagaan barangan kesihatan yang menjanjikan pulangan 8% bagi setiap pembelian.
PETALING JAYA:
Seorang pengurus syarikat kerugian RM422,173 akibat diperdaya sindiket skim pelaburan tidak wujud yang menawarkan barangan kesihatan.

Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak berkata kejadian berlaku mulai bulan lalu selepas mangsa 38 tahun itu berminat dengan tawaran perniagaan barangan kesihatan yang menjanjikan pulangan 8% bagi setiap pembelian.

Katanya mangsa kemudian membuat 43 transaksi pembayaran dalam talian ke lima akaun bank berbeza dari 6 Dis hingga 21 Jan lalu yang semuanya berjumlah RM422,173.12.

“Pembayaran berkenaan untuk membeli barangan dan mangsa dijanjikan wang akan dikembalikan berserta komisen 8%,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata suspek mengarahkan mangsa membuat bayaran tambahan sambil memberi pelbagai alasan selepas mangsa meminta bayaran balik dan komisen yang dijanjikan.

Katanya mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurutnya siasatan meliputi pembabitan keldai akaun dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.