
Pada Isnin lalu, PBAPP berkata kira-kira 200,000 pengguna di negeri itu mungkin berdepan gangguan bekalan air selepas paip itu pecah, kejadian keempat sejak bulan lalu.
Terdahulu Chow berkata, penyelam yang menjalankan kerja-kerja mengapit paip itu pada awal pagi ini tidak dapat berbuat demikian kerana arus yang deras.
Bercakap kepada wartawan selepas memeriksa kerja-kerja di Ampang Jajar pagi tadi, Chow berkata beliau berharap kerja mengapit paip itu dapat diselesaikan sebelum jam 4 petang ini.
“Sekiranya ia dapat diselesaikan mengikut jadual, kita akan terus ke tindakan seterusnya iaitu memulihkan semula bekalan air ke kawasan terjejas,” katanya.
“Ini yang kita hadapi sekarang … kita berlumba dengan waktu. Kita masuk kerja ini diselesaikan dengan segera.”
Tambah Chow, sekiranya kerja mengapit itu tidak berjaya, bekalan air akan terganggu selama tiga hari bermula hari ini. Lori tangki air akan digerakkan ke kawasan terjejas.
“Lori tangki akan digerakkan walaupun Pelan A (mengapit) berjaya,” katanya.
Katanya, Pelan B iaitu menyambung dua saluran paip 600mm dan memutuskan sambungan paip 1,350mm bawah air, kini 70% siap.
“Sekiranya Pelan B boleh disiapkan pada Sabtu, ini bermakna kita lebih awal dari jadual. Kerja-kerja ini disiapkan dalam tempoh 15 hari berbanding jadual asal 21 hari,” katanya.
Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini berkata kerja-kerja itu dijangka siap menjelang 2 Feb.