
Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam masa terdekat bagi membincang peranan yang boleh dimainkan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
“Hubungan masih seperti biasa cuma yang kita nak selesaikan ialah dari segi peranan yang boleh dimainkan oleh BN.
“Kita akan aturkan pertemuan dalam masa terdekat (bersama Amirudin),” katanya kepada FMT.
Megat berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Amirudin sebelum membuat pengumuman menyerahkan semula kuota 20 jawatan ahli majlis PBT negeri itu.
“Saya sudah bertemu sebelum kita buat pengumuman. Pertemuan baik,” katanya.
“Kita tunggu panduan daripada presiden (Zahid Hamidi). Tidak ada kelam kabut. Kita akan selesaikan segera,” katanya.
Minggu lalu, Megat mengumumkan keputusan menyerahkan semula kuota 20 jawatan ahli majlis PBT di negeri itu kepada PH.
Beliau juga mahu semua 373 jawatan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri itu diserahkan kepada Umno.
Megat berkata keputusan itu membuktikan Umno Selangor tidak tamak dan mendesak PH seperti didakwa beberapa pihak.
Semalam, Zahid yang juga timbalan perdana menteri menegaskan tidak timbul sebarang kemelut atau masalah berhubung pelantikan 373 jawatan pengerusi JPKK di Selangor.
Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah, berkata ini kerana kuasa melantik pengerusi JPKK adalah di bawah kuasa kementeriannya dan tidak melibatkan kerajaan negeri.