
Azam berkata, Daim telah dibenarkan keluar dari hospital hari ini, memetik peguamnya.
“Peguamnya telah berkomunikasi dengan IO (pegawai penyiasat) saya memberitahu Daim sudah keluar dari hospital.
“Kini IO sedang berkomunikasi dengan peguam Daim untuk menetapkan tarikh untuk beliau ke mahkamah.
“Kemungkinan besar minggu depan (Daim didakwa),” kata Azam, lapor Malaysiakini.
Semalam, Azam berkata, SPRM telah mendapat kebenaran Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa Daim, walaupun ditangguhkan kerana beliau dimasukkan ke hospital.
Azam bagaimanapun tidak memperincikan tuduhan yang akan dikenakan terhadap Daim.
SPRM berkata, siasatannya terhadap Daim bermula pada Februari 2023 berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora, yang mengaitkan tokoh terkemuka di Malaysia dengan kawasan perlindungan cukai luar pesisir.
Agensi antirasuah itu telah memanggil isteri Daim, Naimah Khalid, dan anak-anak mereka, Amir dan Amin, untuk memberikan maklumat mengenai aset milik keluarga itu.
Daim dan keluarganya memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar siasatan itu, yang menurut mereka, bercanggah dengan perlembagaan.
Pada Selasa, Naimah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana gagal mematuhi notis SPRM yang menghendaki pengisytiharan aset seperti syarikat, beberapa bidang tanah, serta dua kenderaan.