
Bagaimanapun, Azam berkata pertuduhan itu tidak dapat dilaksanakan selepas peguam Daim memaklumkan ahli perniagaan berusia 84 tahun itu, dimasukkan ke hospital, lapor Utusan Malaysia.
“SPRM sedang menyiapkan pertuduhan namun (Daim) telah dimasukkan hospital malah tidak dimaklumkan secara jelas atas sebab apa.
“Oleh itu, pertuduhan tidak dapat lagi dilaksanakan. Buat masa ini, kita akan melihat keadaan namun tetap akan menuduhnya,” katanya.
Azam bagaimanapun tidak memperincikan pertuduhan terhadap Daim.
Semalam, isteri Daim, Naimah Khalid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Awal bulan ini, SPRM memanggil Naimah dan dua anak lelakinya Amir dan Amin, untuk memberikan maklumat mengenai aset milik keluarga mereka.
Agensi antirasuah itu dilapor mengeluarkan notis kepada Daim mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM dan Seksyen 36(1)(b) akta sama terhadap keluarganya.
Daim disiasat SPRM berdasarkan maklumat Kertas Pandora, yang mengaitkan beberapa tokoh terkemuka Malaysia dengan kawasan perlindungan cukai luar pesisir.