
Nur Aida Arifin, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, sejumlah USD3 bilion telah dikumpul untuk projek itu oleh Goldman Sachs, melalui terbitan bon.
Dana itu diperoleh selepas 1MDB menjalin usaha sama dengan Aabar Investment PJS pada 2012 untuk membangunkan TRX, katanya.
Aida berkata, menerusi siasatannya, didedahkan bahawa Najib memberitahu Hazem Abdul Rahman agar tidak “menyentuh” dana USD3 billion itu.
“Walaupun dana itu dimaksudkan untuk TRX, Najib membenarkannya dilaburkan dalam dana pelaburan bawah BSI Bank,” tambahnya.
Aida turut memberitahu mahkamah, sebagai CEO, Hazem tidak mempunyai sebarang kawalan ke atas dana itu.
“Hazem berulang kali membuat permohonan kepada perdana menteri (Najib), menerusi Azlin Alias (dan) Che Lodin Wok Kamaruddin, agar dana itu dikembalikan untuk operasi harian 1MDB.
“Jho Low (Low Taek Jho) memberitahu (Hazem) bahawa dana ini tidak boleh dibawa pulang kerana ia dimaksudkan sebagai dana pilihan raya Umno,” katanya.
Dalam keterangannya sebelum ini, Hazem berkata Low memberitahunya bahawa 1MDB ditubuhkan untuk membantu Umno mendapatkan dana politik.
Beliau meletakkan jawatan pada 2015 kerana merasakan tidak mempunyai kawalan ke atas hal kewangan syarikat, katanya.
Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Najib berdepan 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana didakwa milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.