
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menerusi catatan di Facebook hari ini berkata, gesaan itu disampaikan Mohamad seiring kenyataan Antonio di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-negara Berkecuali di Kampala, Uganda bahawa hak Palestin untuk membina sebuah negara merdeka tidak boleh dinafikan.
“Keamanan dan kedamaian hanya dapat dicapai dan dipertahankan, jika hak sebenar dikembalikan kepada yang berhak.
“Jika penindasan, kekerasan, rampasan hak dan dasar apartheid dibenarkan berleluasa, nescaya tiada noktah yang selamat dalam kehidupan. Pasti suatu hari, sekarang atau di masa depan, mereka yang tertindas dan dinafikan segala hak akan bangkit menentang ketidakadilan sebegini.”
Beliau turut menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian berprinsip bahawa Palestin berhak membentuk negara merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota.
Mohamad dalam ucapannya dalam Debat Terbuka Peringkat Menteri di Majlis Keselamatan PBB berhubung situasi di Timur Tengah, termasuk isu Palestin pada Selasa (Rabu waktu Malaysia) berkata, Malaysia menuntut akauntabiliti atas pencabulan jelas Israel terhadap undang-undang antarabangsa dalam tindakannya di Gaza.
Katanya, ketiadaan akauntabiliti atas jenayah perang Israel menggugat kesahihan undang-undang antarabangsa dan usaha mengakhiri pendudukan haram Palestin.