
Ini berikutan Hakim K Muniandy menolak permohonan semakan difailkan Khairianwar selaku pemohon pada 18 Jan di Mahkamah Tinggi, bagi mencabar perintah larangan dikeluarkan Mahkamah Majistret.
“Mahkamah mengekalkan perintah larangan itu untuk memelihara kepentingan perbicaraan selepas mengambil kira sifat pertuduhan yang dihadapi pemohon, selain mengetepikan perintah lapor diri di balai polis dan jaminan RM6,000 dikekalkan,” kata Muniandy semasa pengurusan kes.
Permohonan semakan berkenaan dibuat atas alasan larangan itu menyalahi undang-undang dan menyekat kebebasan bersuara.
Terdahulu, peguam Zaid Malek yang mewakili Khairianwar, berkata alasan permohonan itu dibuat kerana pihak pembelaan percaya Mahkamah Majistret telah menyalahtafsirkan prinsip-prinsip perintah larangan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Mohd Izhar, berkata perintah larangan itu perlu dikekalkan kerana ia melibatkan isu agama.
Pada 17 Jan, pengarah, Khairianwar, 32, dan penerbit, Tan Meng Kheng, 36, didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain melalui filem itu, tahun lalu.
Mereka didakwa dengan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan orang di sebuah premis di Jalan Semarak Api, pada 12.34 tengah hari 26 Feb 2023.
Khairianwar, yang juga penulis skrip, dan Tan didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mahkamah membenarkan Khairianwar dan Tan masing-masing diikat jamin RM6,000 dan RM6,500 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan setiap tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.
Pihak pendakwaan juga memohon perintah larangan bersuara supaya kedua-dua tertuduh tidak membuat sebarang komen atau kenyataan secara umum mengenai inti pati kes sehingga kes selesai.
Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan tayangan dan publisiti filem itu menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh menteri berkenaan Saifuddin Nasution Ismail.
Filem itu, yang ditayang menerusi platform penstriman video, mengundang kecaman dan kegusaran orang awam kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.